Header Ads


Terkini

Darihal Zahid, Kutty satu kisah politik jenaka

Oleh Subky Latif

PAYAH bagi sesiapa hendak membela Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang menimbulkan usul asal Dr Mahathir berketurunan India hingga menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
    
Macam-mcam tanggap dan tafsir orang atas ucapan dan keterlanjuran Zahid itu. Ia dikira menanamkan kebencian, mengungkit usul asal tok nenek seseorang, tidak benar Melayu dan lain-lain.
     
Banyak mengiranya hal berat yang saya anggap lucu bila datangnya dari TPM. Ia tidak wajar datang dari mulut Zahid.
    
Apapun saya suka mengiranya sebagai satu kisah politik jenaka tambahan kepada kisah Nujum Pak Belalang, Luncai dan labu-labunya, Lebai Malang dan lain-lain.
    
Semuanya adalah sindirin politik jenaka, bernilai politik tinggi tetapi lucu.
    
Zahid sudah membuat lucu, menyusahkan dia, dan sukar untuk membelanya. Apa jua dalih bagi membelanya tak lepas. Orang membelanya dilihat lebih sudu dari senduk. Ada lebih baik ia didiamkan. Lagi banyak Zaid dibela, lagi banyak pula orang mengungkit tentangnya.
    
Lucu antara Mahathir dengan Zahid yang mengungkit keturunan bekas Perdana Menteri itu, jika tidak silap, pernah timbul dalam surat peribadi antara Tunku Abdul Rahman Putra dan Mahathir. Surat peribadi itu dibocorkan dan Mahathir dipecat dari Umno selepas 13 Mei dulu.
   
Betapa asal dari India disebut dan Tunku berbondakan Siam juga ditimbulkan. Ia kisah politik tinggi tetapi saya kira ia adalah jenaka politik.
    
Sehingga ini belum ada Perdana Menteri Malaysia yang betul-betul tulen Melayu hinggalah Perdana Menteri itu Orang Asli.
    
Tunku tidak ditakwil Melayunya kerana dia anak raja, tapi bondanya wanita Siam. Darah campur.
     
Tun Razak sekali dari bangsawan Pahang tetapi usul asalnya Bugis. Bugis itu ada yang pelayar, dan ada juga yang lanun.
    
Tun Hussein Onn pula sebagai bangsawan Johor bukan Johor asli. Tok nenek Dato' Onn dulu asalnya dari Turki. Tiada yang mengkaji Turki apa? Turki dulu adalah empayar Islam yang besar. Tenteranya berada dalam segala ceruk rantau. Maka antaranya tersangkut dengan bangsawan. Dan Turki juga dulu ada orang Gypsy iaitu orang yang pindah randah dari setempat ke setempat, tidak diketahui susur galur keturunannya.
     
Dr Mahathir pula dari keluarga Kutty. Bunyinya dari keturunan Yaman yang berdagang dan  dakwah ke India sejak sebelum kedatangan Inggeris ke India. Orang Yaman yang menetap di India itu menguasai bahasa Inggeris, maka datuknya Iskandar Kutty dikirim oleh Inggeris untuk mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak raja Melayu. Iskandar kahwin dengan orang Johor, mungkin Jawa kerana di Johor ramai Jawa. Anaknya Mohamad jadi pengetua Sekolah Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.
    
Mahathir anak Mohamad ada generasi ketika keluarga Kutty dan Melayu mengatasi Indianya. Mungkin cakap Karala pun dia tidak tahu.
    
Tun Abdullah Badawi pula datuknya Syeikh Abdullah Pahim dipercayai Arab. Ayah Abdullah, Haji Ahmad Badawi lahir di Mekah. Ibu Abdullah pula ada suku sakat keturunan Yunan di Bayan Lepas. Maka Perdana Menteri itu bukan Melayu tulen.
    
Kalau Zahid jadi Perdana Menteri dia jati juga Melayunya kerana dia Jawa.
    
Oleh kerana Dato' Onn, Tunku, Tun Razak, Mahathir, Dollah Badawi dan Zahid besar dengan bercakap Melayu di rumah, dalam masyarakat dan lain-lain maka yang berbudaya, bercakap Melayu dan beragama Islam pula maka mereka itu Melayu.
    
Bagi Dr Burhanuddin al-Helmy dulu asal berbahasa dan berbudaya Melayu sekalipun Cina, Tamil dan Sikh adalah Melayu. Apa lagi Mahathir Kutty.

Tiada ulasan