DAP sedang menimbang untuk meletakkan tokoh-tokoh veterannya seperti
Lim Kit Siang, Teresa Kok dan lain-lain bertanding kerusi Parlimen yang
lebih sukar bagi membuka jalan kepada generasi pelapis parti itu
menyertai pilihan raya umum akan datang.
Beberapa sumber parti memberitahu ,DAP akan terus memberi fokus kepada Johor, negeri kelahiran Umno , parti yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita mengintai kerusi yang lebih sukar untuk pemimpin veteran .
Tetapi sesetengah kerusi itu sebelumnya ditandingi oleh rakan kerjasama
kami, jadi kena ada pujuk-memujuk,” kata seorang sumber.
DAP yang bertanding 51 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2013,
menang 38 buah kerusi -- jumlah tertinggi dalam kalangan sekutunya
ketika itu Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan PAS.
DAP kini bergabung secara rasmi dalam Pakatan Harapan (PH)
bersama-sama PKR dan parti serpihan PAS, Amanah serta Bersatu yang
dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga
mempengerusikan pakatan baru itu.
PAS sudah memutuskan akan bersendirian dalam pilihan raya umum nanti
bersama sebuah lagi gabungan parti politik baru, dan dilihat rapat
dengan Umno.
“Pemikir strategik parti sedang cuba meyakinkan pemimpin-pemimpin
veteran ini untuk bertanding di kerusi lain, dan memberi laluan kepada
pemimpin muda untuk mengambil kubu kuat sedia ada,” kata seorang lagi
sumber.
Kit Siang, ketua parlimen DAP dan ahli Parlimen Gelang Patah,
dikatakan berminat bertanding di sebuah kerusi Parlimen lain di Johor.
Namun pilihan yang ada terhad kerana DAP hanya bertanding enam kerusi di
negeri itu pada 2013.
Ketika diminta mengulas pelan terkini itu, beliau enggan mengesahkannya dan berkata ia masih sedang dalam pertimbangan.
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong yang juga ahli Parlimen Kluang dikatakan mahu bertanding di Labis ,
kerusi yang dipertahankan oleh pemimpin MCA, Chua Tee Yong dalam
pertembungan satu lawan satu dengan Ramakrishnan Suppiah dari DAP dalam
pilihan raya 2013.
Difahamkan Kok, ahli Parlimen Seputeh sejak 1999, mungkin dipindah
keluar dari kubu kuatnya itu untuk bertanding di kerusi Parlimen yang
lain.
“DAP perlu mengangkat barisan pelapis untuk memenuhi kerusi yang akan
dikosongkan oleh beberapa pemimpin veteran. Tetapi ada juga pemimpin
veteran yang akan kekal,” tambah seorang sumber parti itu.
Antara tokoh veteran yang masih berhasrat untuk bertanding dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti termasuklah Ahli Parlimen Kepong
Dr Tan Seng Giaw (wakil rakyat sejak 1982), Ahli Parlimen Bukit Bintang
Fong Kui Lun (sejak 1999) dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai (sejak
1995).
“Ada pemimpin muda yang masih belum diketengahkan dalam pilihan raya.
PRU14 ini peluang terbaik mereka untuk bertanding,” kata sumber itu,
sambil memberikan contoh Dyana Sofia Mohd Daud yang kalah dalam Pilihan
Raya Kecil Teluk Intan pada 2014.
Parti yang dikuasai oleh kaum Cina itu meletakkan lebih ramai calon
Melayu sejak dua pilihan raya umum yang lepas, sehingga menimbulkan rasa
kecewa dalam kalangan parti Melayu seperti Umno, PKR dan PAS.-FMT
DAP timbang letak veteran di kerusi sukar pada PRU14
Reviewed by DetikDaily
on
Ogos 17, 2017
Rating: 5
Tiada ulasan