Benarkah Dr Mahathir Paling Cerdik ?
Oleh DINSMAN
Apabila Dr Mahathir memperlihatkan dirinya memihak kepada pihak-pihak pembangkang dalam politik Malaysia dan tindakannya itu disambut positif oleh pihak-pihak pembangkang berkenaan, di peringkat awalnya saya tidaklah begitu memberi perhatian. Mengenali Mahathir dan perjalanan hidupnya yang penuh liku dan warna-warni itu, saya menganggap itu adalah sebahagian daripada liku-liku dan warna-warni itu.
Dia cuba melakukan sesuatu untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Tun Razak, kerana sebab-sebab tertentu yang menyebabkan dia tidak berkenan Najib jadi Perdana Menteri Malaysia. Apakah sebab-sebab itu, usahlah kita bincang di sini. Boleh jadi kita suka, boleh jadi kita tak suka.
Sebelum ini dia berusaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi yang dia sendiri melantiknya menggantikan dia apabila dia meletak jawatan Perdana Menteri. Dan dia berjaya, tanpa perlu bersusah-payah sangat. Tetapi kali ini nampaknya segala usaha susah-payah dia hendak menjatuhkan Najib itu belum berjaya. Namun dia tidak berputus asa.
Pelbagai inisiatif untuk berpakat dengan pihak pembangkang dibuatnya. Sanggup turun ke jalanraya dalam demo Bersih, berjumpa dengan Anwar Ibrahim di mahkamah, dan sebagainya. Salah satu inisiatif pentingnya ialah mewujudkan Deklarasi Rakyat, bersama pihak-pihak pembangkang. Dan saya pun turut sama menandatangani deklarasi itu
Bukanlah saya suka atau tertarik sangat dengan inisiatif tersebut. Tetapi entah bagaimana tokoh besar DAP, Lim Kit Siang menelefon dan berjumpa saya di Shah Alam, bercerita mengenai deklarasi tersebut dan meminta saya berfikir apakah saya mahu menurunkan tandatangan menyetujuinya.
Setelah berfikir dua atau tiga hari saya pun hadir dan tandatangan. Pertamanya kerana saya menghormati kesungguhan Lim Kit Siang berikhtiar untuk mengembalikan kehormatan kepada masyarakat dan negara ini; dan kedua, kerana dia (Lim Kit Siang) bersusah payah datang sendiri berjumpa dengan saya.
Ketiga, kerana saya percayakan hujah Lim Kit Siang bahawa hanya Mahathir yang mampu menarik orang Melayu di dalam Umno untuk bersama-sama menyokong usaha bagi mengembalikan kehormatan yang disebut tadi.
Dan kemudian, Mahathir menubuhkan parti baru, Bersatu. Ini usaha yang tak pernah dilakukannya sepertinya, sebelum ini. Menunjukkan betapa sukarnya usaha yang sedang diikhtiarkannya kali ini. Dan saya mendengar berita bahawa mutakhir ini kehadiran dialah yang paling mendapat sambutan ramai apabila diadakan apa-apa majlis yang di luar kerajaan.
Maka orang pun mulalah menyebut nama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang akan mengambilalih pimpinan kerajaan Malaysia selepas PRU-14 sekiranya Barisan Nasional kalah. Bukan lagi Anwar Ibrahim. Buat pertama kalinya nama Anwar Ibrahim digugurkan oleh penyokong-penyokong Reformasi sendiri (walau ada juga yang menentang), demi semangat muafakat untuk “selamatkan Malaysia”.
Sampai di peringkat ini saya agak tergamam dan terkedu. Amboi, tak ada orangkah lagi di negara ini yang layak dan mampu memimpin rakyat/masyarakat Malaysia yang lebih baik daripada Dr Mahathir, hingga kita terpaksa mengangkat dia untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri, setelah dulunya kita sendiri ‘bermati-mati’ berjuang bagi menjatuhkan dia?
Di manakah ketokohan Anwar Ibrahim? Di manakah ketokohan Abdul Hadi Awang? Di manakah ketokohan yang lain-lain? Dan apakah maknanya Reformasi 1998 yang untuknya Anwar Ibrahim sanggup berkorban menjalani hukuman penjara 5 tahun dan sekali lagi sekarang pun masih di dalam itu sudah 2 tahun 5 bulan?
Dan ramai lagi yang sanggup bersusah dan berkorban begitu-begini bersama di belakang Anwar Ibrahim sejak Dr Mahathir sendiri menyingkirkannya daripada arus perdana kepemimpinan Malaysia, September 1998 itu. Berapa ramai yang menjalani hukuman penjara, dilokap, diberhentikan kerja, dinafikan peluang dan kemudahan itu dan ini, dan sebagainya.
Apakah maknanya sejarah yang berlalu selama kira-kira 18 tahun itu?
Dan saya tiba-tiba teringat kepada sebuah sajak yang saya bacakan kepada khalayak penyokong Reformasi di Pasir Salak (Perak) dan di Subang Jaya pada September 1999, berjudul “Semua Orang Diperbodohkannya”.
Sajak ini mengenai Dr Mahathir yang enggan berundur atau meletak jawatan walaupun banyak desakan supaya dia berbuat demikian, dengan menyatakan alasan-alasan yang bagi saya ‘memperbodohkan’ rakyat/masyarakat waktu itu. Antara isinya:
“Mahathir kata dia sorang saja pandai/ Sebab tu dia kena terus juga jadi PM/ Kalau tidak, siapa nak selamatkan Malaysia/ daripada dijajah?/ Orang lain tak mampu/ Orang lain kalu: Huru-haralah Malaysia/ Rosak jahanam porak peranda habis.”
Memang itulah gaya bahasa sajak saya waktu itu, supaya orang mudah faham maksudnya. Sekali dengar sahaja sudah faham. Mahathir memperbodohkan semua orang waktu itu. Hanya dia seorang sahaja yang layak jadi Perdana Menteri.
Di para yang lain pula, sebelum itu, sajak itu berkata: “Tak ada sorang pun pandai/ Kecuali Dr Mahathir. Dia pandai/ Lain semuanya tak guna/ Tak layak jadi Perdana Menteri/ Hinggakan Dr Mahathir dah tua-tua pun/ terpaksa juga batalkan lagi/ niat dia hendak bersara.”
Memang kasar bahasanya. Dan itulah ‘mood’ khalayak ramai yang beribu-ribu hadir pada majlis-majlis ceramah politik waktu itu. Adapun yang mengingatkan saya kepada sajak itu ialah isi atau mesejnya: Mahathir memperbodohkan rakyat/masyarakat Malaysia kerana mengatakan hanya dia seorang saja yang layak jadi Perdana Menteri dan orang lain semuanya tak layak.
Pada tahun 1999 itupun saya kata “dah tua-tua pun/ terpaksa juga batalkan lagi/ niat dia hendak bersara.” Maka apatah lagi sekarang, tahun 2017! Namun realiti kehidupan masyarakat Malaysia hari ini nampaknya masih memerlukan dia untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.
Ini sesuatu yang sangat menarik. Saya akan tulis lagi mengenai perkara ini.

Tiada ulasan