Kejatuhan Umno-BN semakin dekat...
Oleh Lanh
SEORANG
profesor tersohor 'kaki bodek' Umno ketika 'dipersenda' kenapa sekarang
baru 'insaf' kebobrokan parti tua itu selepas terkena batang hidung
sendiri dalam satu kes pengurusan agensi pemerintah, bijak menjawab
bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pun sudah berubah, takkan dia masih nak
kekal dulu, kini dan selamanya!
Ya,
kebanyakan manusia berubah ke arah lebih baik, tetapi nampaknya
pemimpin dan ahli totok Umno tidak sedemikian. Misalnya, bagi
membuktikan 'kesetiaan tidak berbelah bagi' kepada pemimpin bermasalah,
Naib Presiden
tetapi menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein riuh
dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dengan
"mengugut akan melondehkan serta mendedahkan keburukan Tun Mahathir (Tun
M) dalam tempoh 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden
Umno jika Tun M terus menyerang PM Najib Razak dan kerajaan Umno BN
sekarang."
Seperti kata politikus Mahfuz Omar, mereka membangkitkan kesalahan lampau Tun M ekoran 'kebimbangan Umno dengan pakatan politik Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bersama rakan parti pembangkang daripada DAP dan Amanah yang mampu menghilangkan kuasa politik Umno-BN'. Katanya, rakyat sedang melihat pakatan politik baru Tun M dan DSAI serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai suatu pengorbanan besar demi rakyat dan negara dengan mengenepikan perbezaan dan permusuhan politik masa lampau demi masa depan negara.
Demikianlah,
kita terus disogokkan kononnya hanya Umno-BN mampu buat itu dan ini,
orang lain tak layak, hatta bekas PM Mahathir yang telah keluar daripada
Umno sekalipun. Hanya Umno-BN mampu perintah negara, yang lain tak
payah - demikianlah dalam kehidupan, antara lain kita disogokkan dengan
slogan berbentuk indoktrinasi. Ramai sekali di kalangan kita, sejak
kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kita menerima apa saja yang
disogokkan tanpa kita berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat
sesuatu perkara itu.
Jika
kita mahu tahu mengapa sesetengah daripada kita sukar berubah (seperti
enggan meninggalkan parti tua berslogankan dulu, kini dan selamanya)
telitilah perjalanan kehidupan kita. Sebagai contoh ramai daripada kita
diajar hal ehwal agama semasa kecil tanpa memahami apa yang sebenar kita
pelajari. Ramai orang mengaji (membaca al-Quran) tetapi sangat sedikit
daripadanya memahami maksud ayat yang dibaca apatah lagi mengamalkannya.
Orang dewasa menyuruh kita sembahyang tetapi ramai daripada kita tidak
faham apakah tujuan kita berbuat demikian dan pengertian ayat yang kita
baca ketika solat.
Ketika
kecil, ramai daripada kita dipaksa menyerap dan menanam fahaman dan
ajaran ke dalam diri kita secara bulat-bulat tanpa dapat mempersoalkan
apa yang kita lakukan. Ini termasuklah bab hantu. Apabila dewasa dan
tiada lagi pihak berkuasa (ibu bapa sudah jauh dari mata) mengawasi dan
memaksa kita melakukan ibadat tersebut (seperti sembahyang), sebahagian
daripada kita secara perlahan-lahan meninggalkan atau melakukannya hanya
sebagai satu kebiasaan saja.
Mereka
yang melakukan ibadat tersebut, sebahagiannya hanya mengharapkan pahala
(balasan baik) dan dijauhkan daripada seksaan api neraka. Hal yang sama
berlaku tatkala kita dewasa. Kita dipaksa menerima fahaman-fahaman yang
ternyata kita sendiri tidak faham tetapi kita juga tidak mempunyai hak
mempersoalkannya. Orang lain cuba mengambil kesempatan daripada
kelemahan kita untuk menanamkan fahaman-fahaman dan kepercayaan ini.
Itulah
yang terjadi pada kebanyakan ahli parti tua. Mereka terus menyokong
pemimpin secara buta tuli, sebahagiannya kerana ada agenda tersendiri.
Ada udang di sebalik 'mi' (batu). Pemimpin kanan terus memberi sokongan
(mengiyakan) pemimpin besar seperti apa diiktibar daripada kisah 'The
Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) yang sudah sudah baca di
sekolah rendah dulu tetapi tidak kita aplikasikan dalam kehidupan. 'The
Emperor's New Clothes' menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa
itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel
tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat). Hanya
kebijaksanaan seorang budak dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah
(berbogel tetapi dikatakan berpakiaan paling mewah dan cantik) dan
tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan
menteri-menterinya.
Ringkasnya
pemimpin benar kerana dia berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik
sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau
kata-kata tersebut. Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah
mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata
walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya. Keadaan
sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan.
Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu
berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam
(perwakilan) kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.
Lebih-lebih lagi masing-masing ada kepentingan tersendiri.
Kenapa
orang bawahan menyatakan sokongan tanpa menyelidik sama ada yang
dikatakan itu fakta atau suatu manipulasi? Ilmuan psikologi dan
sosiologi mengaitkan perlakuan manusia ini sebagai ‘collective
behaviour’ (tindak-tanduk bersama). Kelakuan manusia berbeza sama sekali
apabila di bersendirian atau berada dalam sesebuah kumpulan (beramai).
Kelakuan beramai mempunyai ciri tertentu yang membolehkan kita mengenal
pasti dan mengkaji tingkah-laku manusia dalam situasi itu.Individu yang
termasuk dalam keramaian, bertindak kepada sesuatu perangsang (stimulus)
yang berupa orang, peristiwa atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan
emosi rancak.
‘Collective
behaviour’ telah menyebabkan penyokong begitu berani. Berani kerana ada
kuasa dan ramai, bukan kerana benar. Apabila bersendirian seseorang
adalah lemah dan penakut – ibarat seekor tikus yang sentiasa takut akan
bayang-bayang kemampuannya, jauh daripada takutkan bayangkan kucing.
Sebenarnya kucing tidak wujud, tikus hanya takut pada dirinya saja.
Namun apabila berkumpulan, barulah manusia berani dan lantang. Berani
bercakap berapi-api dan lantang bersuara kerana dia yakin mendapat
sokongan dan akan dibela oleh ribuan bahkan jutaan pak turut di
belakangnya. Nak tahu berani sebenar, cuba 'try test' masuk penjara
seperti dialami Saudara Anwar!
Indoktrinasi
begitu berkesan pada jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang
pula terutama pada era teknologi maklumat kini, amalan jenis ini tidak
dapat diterima kerana manusia mempunyai naluri untuk memikirkan fahaman
serta ajaran apa yang mereka fikirkan baik apabila mereka diberi
kebebasan dan ruang untuk berfikir dan menambah maklumat.
Ambillah
iktibar indoktrinasi fahaman komunis yang selama 70 tahun membelenggu
rakyat Soviet Union dan negara Eropah Timur, akhirnya hancur saja.
Setiap perkara (benda) yang sudah sampai di kemuncaknya akan jatuh.
Lemparlah batu ke udara, selepas ia mencapai kemuncak ketinggian, ia
akan jatuh. Apabila Umno-BN sudah sampai ke kemuncak indoktrinasinya,
percayalah ia sudah terlalu dekat untuk hancur!


Tiada ulasan