Melayu tidak perlu takut lagi dengan DAP
Oleh Shahbudin Husin
Pada 7 Februari 2017, bekas Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mengesahkan penyertaannya ke
dalam DAP dalam satu sidang media di kediamannya di Tropicana, Petaling
Jaya.
Pada awalnya, sidang media untuk
mengumumkan kemasukannya ke dalam DAP itu sepatutnya diadakan di Kelab
Diraja Selangor, Bukit Kiara, tetapi terpaksa diubah tempat kerana
tempahan dibatalkan oleh pengurusan kelab tersebut di saat-saat akhir.
Apa yang menariknya, penyertaan Zaid
menyertai DAP disaksikan oleh Tun Mahathir Mohamad, bekas Perdana
Menteri yang dikenali sebagai “ultra Melayu” yang juga merupakan
Pengerusi parti Bersatu.
Ini adalah suatu sejarah di mana
seseorang menyertai DAP, tetapi Tun Mahathir menjadi saksinya. Sekaligus
juga merupakan suatu penghormatan buat Zaid.
Meskipun tempat sidang media berubah
tempat, namun Tun Mahathir tidak mengubah kesediaannya untuk menjadi
saksi penyertaan Zaid ke dalam DAP itu.
Kehadiran Tun Mahathir bersama Lim Kit
Siang untuk menjadi saksi kemasukan Zaid itu sudah agak lama dirancang
dan ketidaksangsian beliau untuk menghadirinya tentunya mampu memberi
mesej yang mendalam kepada rakyat.
Mesejnya tidak lain ialah agar
pengundi Melayu tidak perlu takut atau ragu-ragu lagi untuk memberi
sokongan kepada parti itu dalam pilihanraya akan datang ini.
Dengan bertambahnya pemimpin Melayu
berada dalam DAP, parti itu secara langsung dan tidak langsung telah
menunjukkan ia semakin terbuka dengan konsep berbilang bangsa, meskipun
diterajui oleh pemimpin berbangsa Cina.
Di sebalik dikatakan sebagai parti
Cina dan digambarkan selalu bersikap chauvinis, tetapi seperti yang
disebut oleh Tun Mahathir, DAP sebenarnya adalah parti berbilang kaum.
Ia terbuka kepada semua kaum untuk menyertai dan berjuang di dalamnya.
Sejak sekian lama, beberapa pemimpin
Melayu sudah menyertai DAP dan kemasukan Zaid sambil disaksikan oleh Tun
Mahathir, parti itu dipercayai mampu meneroka ruang yang lebih luas
dalam segmen-segmen masyarakat Melayu yang berbagai di negara ini.
Ini kerana Zaid bukan saja seorang
peguam yang terkenal, bahkan juga pemimpin Melayu yang bukan asing
kepada rakyat negara ini dengan pelbagai sumbangannya selama ini.
Beliau tentunya mampu memainkan
peranan untuk menyelak tirai yang selama ini agak tertutup mengenai
perjuangan sebenar DAP. Meskipun tidak mudah, tetapi ia adalah cabaran
baru bagi Zaid yang dipercayai akan turut diberi ruang oleh DAP untuk
bertanding dalam PRU 14 akan datang.
Jika Zaid mampu melakukannya bersama
pemimpin-pemimpin Melayu sedia ada dalam DAP, parti itu mampu menjadi
wadah baru bagi orang-orang Melayu, khususnya di bandar dan di
kawasan-kawasan perumahan baru di seluruh negara.
Harus diakui bahawa DAP paling
konsisten menjunjung Perlembagaan dan tegar menentang rasuah, salah guna
kuasa dan penyelewengan dalam sistem pentadbiran negara. Dalam isu
berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta melibatkan Najib Razak, DAP paling
lantang dalam perjuangannya.
Dengan semakin ramai Melayu berada
dalam DAP, seluruh rakyat, khususnya pengundi Melayu tidak harus bimbang
lagi atau terus membiarkan diri termakan dakyah jahat UMNO berkenaan
parti tersebut.
Bersama PKR, Bersatu dan Amanah yang
sedia Melayu atau majoriti Melayu di dalamnya, terbaru dengan semakin
ramai pemimpin Melayu terkenal seperti Zaid turut memilih DAP, Pakatan
Harapan kini menawarkan ruang yang lebih menyeluruh, bukan saja untuk
rakyat pelbagai kaum, tetapi juga bagi orang-orang Melayu.
Bermakna, kehadiran Tun Mahathir
menjadi saksi kemasukan Zaid ke dalam DAP merupakan satu lagi sumbangan
bekas Perdana Menteri itu untuk menyelamat dan menyediakan sesuatu yang
jauh lebih baik untuk masa depan Malaysia selepas UMNO dan BN
ditumbangkan nanti. - http://shahbudindotcom.blogspot.my


Tiada ulasan